
Masyarakat yang tertekan emosinya akan menunjukkan gejala seperti agresif, mudah memberontak, marah yang tidak dapat dikawal, kemurungan, penyakit mental dan membunuh diri. Pendekatan dakwah Islamiah adalah salah satu bentuk sokongan yang boleh membantu menangani masalah tekanan emosi remaja.
Kajian ini dilakukan ke atas remaja di Kajang Selangor Darul Ehsan adalah bertujuan untuk mengkaji sama ada remaja mengalami tekanan atau pun tidak berdasar kepada simptom-simptom tekanan yang meliputi aspek psikologi, fisiologi dan tingkah laku sosial. Selain daripada itu, kajian ini turut mengkaji faktor-faktor utama tekanan dan cara-cara remaja menangani tekanan sama ada cara positif atau negatif.
Untuk mencapai tujuan ini, analisis telah dilakukan ke atas 403 orang responden yang terdiri daripada remaja lelaki dan perempuan yang berumur 16-17 tahun. Data yang diperlukan melalui soal selidik dan temubual berstruktur. Analisis data menggunakan kaedah statistik deskriptif yang dijelaskan dalam bentuk jadual dan gambarajah dengan huraiannya dalam bentuk kekerapan dan peratusan.
Hasil kajian menunjukkan bahawa remaja memang ada mengalami tekanan emosi yang majoriti remaja menunjukkan simptom dari aspek psikologi. Hasil kajian ini turut mendapati bahawa faktor utama yang menyebabakan tekanan ialah faktor keluarga dan faktor persekitaran. Manakala dari aspek menangani tekanan pula, kebanyakkan remaja menggunakan cara yang positif.

